Biometrics to combat illegals issue in Sabah

11 Aug 2015

Maklumat warga asing dapat diketahui melalui cap jari.

PELAKSANAAN sistem biometrik menerusi penggunaan cap jari memberi kesan positif dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah, kata Pengarah Jabatan Imigreen Sabah, Noor Alam Wahid Khan.

Menerusi sistem itu, maklumat warga asing yang masuk ke negara ini dapat dipantau termasuk jika mereka tinggal lebih masa, penggunaan pasport palsu, mengenal pasti pesalah yang berulang serta lokasi mereka masuk serta keluar.

“Pemasangan sistem ini membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan pemalsuan atau pertukaran identiti oleh Pati, terutamanya mereka yang pernah ditangkap dan dihukum atas pelbagai kesalahan.

Noor Alam berkata, Jabatan Imigresen telah melakukan beberapa penambahbaikan penguatkuasaan khususnya melibatkan usaha merekod data Pati dengan lebih sistematik.

“Ia dilaksanakan melalui pemerluasaan sistem biometrik yang bukan sahaja dipasang di pintu-pintu masuk, tetapi di pusat tahanan sementara.

“Setakat ini, sebanyak 10 pintu masuk di negeri Sabah telah dilengkapi dengan kemudahan sistem biometrik dan terkini adalah pintu masuk melalui jalan laut di Pelabuhan Kota-Kinabalu dan Pelabuhan Sandakan yang dipasang pada bulan Mei lalu,” katanya.

Katanya, selain itu, sistem biometrik itu juga akan digunakan di semua pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah bagi mengekang kemasukan semula Pati.

“Setakat ini, Sabah mempunyai empat PTS yang kini menempatkan kira-kira 6,299 Pati,” katanya.

Bagaimanapun, bagi menampung keperluan penempatan sementara Pati, dua lagi PTS akan dibina di Tawau dan Lahad Datu  yang boleh menampung 3,000 Pati dengan kos keseluruhan bernilai RM50 juta.

“Pembukaan PTS ini dapat mengurangkan isu kesesakan di PTS sedia ada, selain memastikan perancangan operasi penguatkuasaan dapat dilaksanakan serta-merta.

“Ia akan siap dalam tempoh 18 bulan bermula dari tarikh kerja dimulakan,” katanya.

Tambahnya, dengan peningkatan usaha penguatkuasaan oleh setiap agensi penguatkuasaan di negeri Sabah ataupun melalui Operasi  Bersepadu, isu kebanjiran warga asing di Sabah dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Sabah, keberkesanan sistem biometrik ini boleh dilihat melalui jumlah Pati yang disenarai  hitamkan daripada memasuki Malaysia kerana melakukan kesalahan imigresen dan memiliki rekod jenayah.

“Sehingga Jun 2018, seramai 3,014 Pati telah disenaraihitamkan,”katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 2,057 Pati merupakan warganegara Filipina, 440 Indonesia, dan 517 dari negara-negara lain.

Dalam pada itu, tegas beliau, proses pengusiran juga dipertingkatkan yang mana pada 2013 sahaja, seramai 13,222 pati diusir ke negara asal, diikuti 17,607 orang pada 2014.

“Bagi tahun ini pula bermula Januari hingga  30 Julai lalu, jumlah pengusiran mencecah 15,368 orang dan mensasarkan 22,000 pati akan diusir balik kelak,” katanya.

Ketua Menteri Sabah sambut baik

Pelaksanaan sistem biometrik di pintu masuk negara sebagai usaha menangani kebanjiran  pendatang asing di Sabah disambut baik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Menurutnya, langkah itu meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan oleh pelbagai agensi ke atas pati.

“Saya mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri atas tindakan penambahbaikan dan perluasan sistem biometrik,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS) dan Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yakin, pelaksanaan sistem biometrik dapat mempertingkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan serta kawalan pintu masuk negara.

“Ini kerana agensi-agensi keselamatan kita akan mempunyai rekod dan data biometrik setiap warga asing yang antara lain boleh membendung sindiket pemalsuan rekod dan dokumen,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan  majikan agar tidak menggaji atau melindungi Pati secara haram.

“Saya ingin menyeru kepada semua pihak supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk mengatasi masalah pati  di Sabah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah melindungi Pati secara tidak sah atau tidak mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Link

Download


>> Back to News