Border security tightened, full checks including biometrics

18 Jan 2016

Putrajaya: Kawalan keselamatan di pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang dan pelabuhan serta stesen kereta api diperketatkan bagi membendung ancaman militan di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya sudah memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan selain menambah petugas keselamatan.

Beliau berkata, selain itu, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) sudah mempertingkat kawalan termasuk menggunakan peralatan bagi mengesan ancaman oleh individu yang masuk ke negara ini.

"Selain itu, rakyat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kita mampu menghadapi ancaman ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Moral anjuran The One Academy di sini, hari ini.

Sementara itu, petugas Jabatan Imigresen di semua pintu masuk sempadan negara diarahkan membuat penelitian rapi terhadap individu yang masuk ke negara ini berikutan ancaman keganasan buat masa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, selain perlu melalui pemeriksaan biasa dan pengambilan data biometrik (cap jari), pegawainya juga akan memastikan individu yang melepasi kawalan keselamatan imigresen adalah pelawat tulen.

Beliau berkata, jika disyaki dan diragui, pegawai imigresen berhak untuk membuat pemeriksaan dengan lebih teliti.

"Individu yang meragukan akan berhadapan dengan tindakan Notis Tolak Kemasukan/Not To Land Notice (NTL) dibawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 atau ditahan untuk siasatan lanjut. "Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berpotensi memberi ancaman kepada keselamatan Negara kita," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Imigresen juga sentiasa bekerjasama dengan agensi keselamatan yang lain dalam memastikan keselamatan rakyat dan negara terjamin.

Link

Download


>> Back to News