Thorough Immigration checks via biometrics system

01 Feb 2016

MUSA SULAIMAN (duduk, dua dari kanan) beramah mesra dengan pegawai Imigresen selepas mempengerusikan mesyuarat di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. 

KOTA KINABALU 31 Jan. – Semua pegawai Jabatan Imigresen di negeri ini telah diarahkan untuk melaksanakan pemeriksaan lebih teliti terhadap perjalanan keluar dan masuk, khususnya pelancong asing ke negeri ini.

Pengarahnya, Musa Sulaiman berkata, untuk itu pemeriksaan biometrik terhadap semua pelawat diwajibkan selain mengemaskinikan penggunaan sistem senarai semak penumpang.

“Kita tidak teragak-agak untuk menghalang kemasukan pelawat yang dipercayai mengancam keselamatan atau menggugat keharmonian negeri ini.


“Dalam usaha menjamin tahap keselamatan itu, kita telah arah semua pegawai di pintu-pintu masuk melaksanakan pemeriksaan lebih teliti,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, seramai 236 orang pelancong asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelancong tulen telah dihalang memasuki negeri ini.

Jelasnya, selain itu pihak jabatan telah menahan seramai 18,874 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di seluruh negeri ini, untuk tempoh yang sama.

“Operasi bersepadu itu turut membabitkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam tempoh sama, kita juga telah mengusir seramai 27,769 orang PATI ke negara masing-masing, membabitkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan, India dan China,” tambahnya.

Sementara itu, beliau mengumumkan lanjutan waktu operasi Pos Kawalan Imigresen Sindumin, Sabah dan Merapok, Sarawak iaitu dari pukul 6 pagi hingga 10 malam kepada 6 pagi hingga 12 tengah malam mulai 1 Februari ini.

Ujar beliau, langkah berkenaan bertujuan menyelaraskan waktu operasi Pos Kawalan Imigresen di sempadan Sarawak dan Brunei yang kini dibuka sehingga pukul 12 tengah malam.

Link

Download


>> Back to News